| Muhammad Calligraphy by SoulFlamer |
يا بدر تم
يا بدر تم حاز كلّ كمل ¤ ماذايعبّر عن علا ك مقالى
انت الّذى اشرقت فى افق العلى ¤ فمحوت بالانواركل
ضلال
وبك استنارالكون ياعلم الهدى ¤
بالنّوروالانعاموالافضال
صلى عليك الله ربى دائما ¤ ابدامع الابكاروالاصال
وعلى جميع الال والاصحاب من ¤ قد خصهم رب العلا
بكمال
"Wahai bulan purnama (Nabi Muhammad) yang
sempurna, yang telah mencapai segala puncak kesempurnaan,
Apakah perkataan yang dapat mengungkapkan
ketinggianmu,
Engkaulah yang terbit menerangi ufuq yang
tinggi;
Lalu engkau menyelenyapkan segala kesesatan
dengan cahayamu,
Dengan sebabmu, terang benderang alam ini, wahai
panji-panji hidayah,
Dengan dilimpahkan cahaya, nikmat-nikmat dan
pelbagai kelebihan,
Semoga sentiasa tercurah rahmat Allah, Tuhanku.
Sepanjang masa pada waktu pagi dan petang,
Dan juga ke atas keluarga, serta sahabat-sahabat
yang,
Telah dikurniakan keistimewaan dengan beberapa
kesempurnaan
Oleh Allah ta`ala Yang Maha Tinggi
Saya terlihat satu topik
di dalam forum Islamik yang agak terkenal di internet di mana seorang
ahlinya telah melontarkan persoalan berkenaan hukum menyamakan Nabi SAW dengan
purnama dan cahaya sebagaimana yang sering diungkapkan dalam qasidah-qasidah.
Ini adalah isu aqidah dan perlukan kepada penjelasan untuk mengelakkan orang
awam terkeliru.
Antara rujukan utama
saya dalam menjawab permasalahan ini adalah daripada pandangan Syeikh Ali
Jum'ah yang diperoleh dari kitabnya, البيان القويم لتصحيح بعض المفاهيم. disamping pandangan ulama'-ulama
lain. Antara persoalan yang
mungkin timbul:
1. Adakah dibenarkan
bagi kita mengumpamakan Nabi SAW seperti cahaya atau purnama?
2. Tidakkah ia
keterlaluan dalam memuliakannya sedangkan Nabi SAW pernah bersabda “Jangan
kamu berlebihan terhadapku sebagaimana orang-orang Nasara berlebih-lebihan
terhadap anak Maryam, aku hanyalah hamba, maka katakanlah : hamba Allah dan
Rasul Allah” (Hadis Riwayat Bukhari)
Jawapan:
Firman Allah SWT dalam
surah al-Maidah ayat 15
يَا أَهْلَ الْكِتَابِ قَدْ جَاءَكُمْ رَسُولُنَا
يُبَيِّنُ لَكُمْ كَثِيرًا مِمَّا كُنْتُمْ تُخْفُونَ مِنَ الْكِتَابِ وَيَعْفُو
عَنْ كَثِيرٍ قَدْ جَاءَكُمْ مِنَ اللَّهِ نُورٌ وَكِتَابٌ مُبِينٌ
Wahai Ahli Kitab!
Sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul Kami (Muhammad, s.a.w) dengan
menerangkan kepada kamu banyak dari (keterangan-keterangan dan hukum-hukum)
yang telah kamu sembunyikan dari Kitab Suci, dan ia memaafkan kamu (dengan
tidak mendedahkan) banyak perkara (yang kamu sembunyikan). Sesungguhnya telah
datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) dari
Allah, dan sebuah Kitab (Al-Quran) yang jelas nyata keterangannya.
Firman Allah SWT dalam
surah al-Ahzab ayat 46
وَدَاعِيًا إِلَى اللَّهِ
بِإِذْنِهِ وَسِرَاجًا مُنِيرًا
"Dan (Nabi Muhammad) juga sebagai penyeru (umat manusia seluruhnya) kepada agama Allah dengan taufiq yang diberiNya ; dan sebagai lampu yang menerangi"
"Dan (Nabi Muhammad) juga sebagai penyeru (umat manusia seluruhnya) kepada agama Allah dengan taufiq yang diberiNya ; dan sebagai lampu yang menerangi"
Jelas di dalam Al-Quran
bahawa Allah SWT juga mengumpamakan Nabi SAW dengan cahaya dan lampu yang
menerangi. Ini tidaklah keterlaluan sebagaimana yang dikatakan oleh beberapa
pihak yang lain.
Sifat Nabi SAW adalah
seperti cahaya yang menerangi alam ini. Dakwah Nabi SAW sampai ke serata
pelusuk dunia. Al-Quran yang juga mukjizat terbesar Nabi SAW dibacakan oleh
hampir 1.7 billion umat Islam di seluruh dunia. Inilah cahaya yang dimaksudkan.
Dari sudut lain, kita
dapat lihat bahawa Bahasa Arab sebenarnya kaya dengan unsur-unsur balaghah (Arabic
rethoric) atau perumpamaan yg indah. Contoh-contohnya boleh dilihat dalam
al-Quran, madih, dan qasidah dalam Bahasa Arab. Perlu dibezakan juga antara
majaz (kiasan), tasybih (penyerupaan) dan hakikat. Kegagalan untuk membezakan
ketiga-tiga komponen ini menyebabkan qasidah-qasidah seumpama di atas
disalahtafsirkan sebagai 'keterlaluan' dalam memuliakan Nabi SAW.
Apa yang dilarang adalah
menafikan sifat kemanusiaan pada diri Nabi SAW dan memuliakan Nabi SAW dengan
keterlaluan (الإِطْرَاءُ) sebagaiman
orang Kristian menamakan Nabi Isa alaihissalam sebagai Anak
Tuhan dan Tuhan. Firman Allah SWT dalam surah al-Kahf ayat 110
قُلْ إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ
مِثْلُكُمْ يُوحَى إِلَيَّ أَنَّمَا إِلَهُكُمْ إِلَهٌ وَاحِدٌ
Katakanlah
(wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu,
diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu
al-Imam al-Bushiri
rahimahullah menyebut dalam burdahnya di dalam bait 43 dengan katanya:
دع ما ادّعته النصارى في نبيهم
واحكم بما شئتَ مدحاً فيه واحتكِم
Maksudnya: Tinggalkan cara orang Nasrani dalam
menyanjung nabi mereka (Nabi Isa alaihi al-salam), selepas itu terserahlah
kepadamu untuk memuji baginda sallallahu alaihi wasallam sesuka hatimu.)
Maka jalan selamat dalam
masalah ini adalah kita menetapkan apa yang ditetapkan oleh Allah SWT pada diri
Nabi SAW. Kita menetapkan Nabi Muhammad adalah cahaya yang menerangi dan dalam
masa yang sama, Baginda juga adalah manusia biasa cuma dianugerahkan Allah kelebihan
iaitu wahyu kepadanya.
Adalah perlu bagi para
asatizah membimbing masyarakat awam
dalam memahami bait-bait qasidah seperti ini untuk mengelakkan sebarang
salah faham yang mungkin terjadi.
Wallahua'lam.
Disediakan oleh,
Mohamad Razif bin
Mohamad Fuad
Tahun 2,
Sarjana Muda Pengajian
Akidah dan Agama,
Fakulti Kepimpinan dan
Pengurusan,
Universiti Sains Islam
Malaysia
Disemak oleh.
Ustaz Wan Mohd. Fazrul
Azdi Wan Razali
Pensyarah
Program Pengajian Akidah
dan Agama
Fakulti Kepimpinan dan
Pengurusan,
Universiti Sains Islam
Malaysia
Rujukan:
1. البيان القويم لتصحيح بعض
المفاهيم, Syeikh Dr.
Ali Jum'ah
2.
Qasidah al- Burdah, Imam al-Busiri
6:45 AM
SPMM
Posted in: 

0 comments:
Post a Comment